Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.
Teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.
Selain itu, teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendidikan negara kita. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan. Apabila terlaksana kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi guru mereka. Guru akan dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan dikendalikan oleh komputer. Sumber rujukan pula adalah dari sumber-sumber multimedia. Pelajar perlu memiliki kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mereka sendiri yang akan meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh mereka. Malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.
No comments:
Post a Comment